Wednesday, February 17, 2010

KEBEBASAN BERSUARA SISWA


Sepanjang bulan Januari 2010,seluruh Institut Pengajian Tinggi di Malaysia hangat membicarakan kerancakan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang menjadi medan untuk memiih perwakilan pelajar pada peringkat universiti. Apabila berbicara mengenai ‘pilihanraya’ tidak kiralah sama ada pilihanraya luar atau dalam kampus,sudah menjadi kewajipan wujudnya sudut bersuara bagi meluahkan pendapat,pandangan dan juga sebagai kempen untuk menambat hati pengundi. Dalam konteks universiti,mahasiswa di Malaysia dilihat seperti ‘layu’ kerana bersikap dingin dalam membicarakan mengenai isu-isu semasa. Mahasiswa hari ini hanya pergi ke kuliah,tutorial kemudian pulang ke kolej kediaman tanpa mencari suatu platform untuk berbicara mengenai isu-isu semasa.

Justeru itu,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia,Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan pentadbiran universiti supaya tidak menyekat kebebasan bersuara mahasiswa dalam kampus. Hakikatnya,terma ‘kebebasan’ itu sendiri mempunyai makna yang cukup luas kerana kebebasan yang diberikan terhadap mahasiswa dalam kampus bukan bersifat mutlak sebaliknya memiliki garis panduan agar tidak melampaui batas-batas yang ditetapkan. Justeru,saranan Datuk Saifuddin patut dipuji kerana memberi semula ‘permit’ kepada mahasiswa untuk berdiri lalu membawa gagasan pada peringkat menara ilmu ini. Pihak pimpinan universiti seharusnya tidak terlalu meletakkan syarat yang terlalu ketat dan ‘merantai’ usaha mahasiswa untuk bersuara. Kita mahu menghasilkan mahasiswa yang peka mengenai isu-isu semasa sama ada ekonomi,politik mahupun sosial kerana mahasiswa hari ini merupakan duta masyarakat yang akan kembali kepada masyarakat selepas tamat tempoh pengajian nanti. Kita juga tidak mahu,pagar yang mengelilingi kampus pengajian menjadi pemisah di antara golongan mahasiswa dengan masyarakat. Cuba kita bayangkan,andai mahasiswa kita tidak peka dengan isu-isu semasa,bagaimana mereka akan berhadapan dengan masyarakat kelak?

Tidak cukup input di dalam kuliah dan hanya sekadar ‘mengambil tahu’ isu-isu semasa sebaliknya mahasiswa perlu duduk semeja membincangkan apakah perkara sebenar yang berlaku dan apakah peranan golongan mahasiswa dalam menjadi agen resolusi kepada permasalahan yang timbul. Saya menulis hari ini sebagai mahasiswa yang neutral yakni tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Pentas bicara mahasiswa sebelum ini cukup hebat dengan melahirakn tokoh-tokoh yang cukup berwibawa seperti Datuk Ahmad Shabery Cheek,Datuk Seri Anwar Ibrahim,Datuk Razali Ismail,Saifuddin Nasution dan ramai lagi. Kita mahukan mahasiswa kita bangun dari ‘lamunan’ dan bersedia untuk bersama dengan masyarakat. Sememangnya,mahasiswa akur dengan peraturan-peraturan university seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),namun mahasiswa menuntut kebesan yang masih diselia bukannya kebebasan yang membabi buta kerana kita masih golongan yang masih berada di gedung ilmu.

Pujian harus diberikan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana mengembalikan sudut pidato mahasiswa bagi menjadi medium mahasiswa berkongsi pendapat masing-masing. Turut membanggakan apabila kepimpinan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengusulkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi bagi mewujudkan Parlimen Mahasiswa sebagai saluaran untuk golongan menara gading berkongsi buah fikiran yang cukup berkualiti. Harapan saya,semoga kita terus menjadi mahasiswa yang tidak hanya keluar masuk dewan kuliah semata-mata tetapi sensitif dengan isu-isu semasa. Jagalah ‘kebebasan’ yang diberikan dengan sentiasa bersikap rasional demi melahirkan insan yang cemerlang dan berjaya.

(alhamdulillah,artikel saya ini dah diterbitkan dalam berita harian 17 februari 2010)